MyWin/ August 26, 2017/ In The News/ 0 comments

KUALA LUMPUR: Kejayaan yang dicapai Malaysia sehingga ke peringkat dunia tidak dapat direalisasikan tanpa peranan wanita, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, selepas kerajaan mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 2010, peranan besar wanita terus melonjak.

Beliau berkata, badan dunia seperti Tabung Kewangan Dunia (IMF), Bank Dunia dan agensi penarafan antarabangsa juga yakin untuk mengiktiraf golongan itu sebagai penyumbang kepada kejayaan Malaysia.

“Keyakinan kuat agensi antarabangsa terhadap pengaruh dan peranan wanita membuktikan golongan itu sebenarnya penyumbang terbesar terhadap pembangunan negara.

“Merujuk kajian diterbitkan Nikkei Asian pada minggu ini, Malaysia berada di landasan terbaik dalam pembangunan sosioekonomi wanita. Kajian itu turut menyebut, jumlah wanita merangkumi dua pertiga di universiti awam negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Akademi Inovasi Wanita Jabatan Perdana Menteri (Akademi MyWin), di sini malam ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri; Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita JPM, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Najib turut mengumumkan penubuhan Lembaga Penasihat Akademi MyWin, dipengerusikan beliau sendiri, manakala Pengasas Universiti Lim Kok Wing, Tan Sri Dr Lim Kok Wing sebagai timbalan.

Perdana Menteri berkata, jumlah wanita berkerjaya di negara ini perlu ditambah supaya dapat memecahkan blok yang menjadi pemisah di antara dua jantina.

Untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan, beliau berkata, keupayaan produktiviti dan inovasi golongan itu perlu turut berubah selaras keadaan semasa supaya mereka dapat bersaing.

“Akademi MyWin diharap dapat membantu membentuk dan melahirkan generasi serta inovator wanita dalam sektor korporat, khususnya sebagai pembuat dasar.

“Kerajaan berjaya menghasilkan 35.8 peratus wanita sebagai pembuat dasar dalam sektor awam. Bagi sektor swasta pula, pembabitan golongan itu melepasi sasaran, iaitu sebanyak 30 peratus,” katanya.

Sumber daripada BHOnline

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>
*
*